Kerajaan Persekutuan Perlu Terima Tawaran Kerajaan Negeri Untuk Tubuhkan Pasukan Polis Bantuan



YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghantar surat kepada YB Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam yang meminta pihak kementerian mempertimbangkan permohonan Kerajaan Selangor untuk Menubuhkan Pasukan Polis Bantuan.

Surat ini adalah yang kedua dihantar YAB Menteri Besar selepas surat pertama yang dihantar kepada YAB Timbalan Perdana Menteri dan salinannya dihantar kepada YB Menteri Dalam Negeri pada Julai tahun lepas, tidak mendapat sebarang maklum balas.


Dalam surat kepada YB Menteri Dalam Negeri itu, YAB Menteri Besar menyatakan kebimbangan Kerajaan Negeri terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sehingga menimbulkan kebimbangan serius di kalangan rakyat Selangor, serta mengulangi hasrat kerajaan negeri untuk mengambil langkah konkrit demi menangani masalah ini.

“Saya menulis kepada YB Menteri Dalam Negeri supaya hasrat Kerajaan Selangor untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan menjadi kenyataan. Keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri, dan tiada alasan munasabah mengapa kerajaan Persekutuan harus menolak tawaran kami untuk menyumbang sumber tenaga dalam usahasama menjaga keselamatan rakyat,” kata Menteri Besar.


Kerajaan Selangor pernah memohon kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi perintis, tetapi ditolak dengan alasan anggota polis mencukupi untuk mengawal keselamatan.

Bagaimanapun, dua kes yang terbaru di mana dua pegawal keselamatan ditetak di Damansara Perdana serta kes wanita hamil yang ditampar dan dirompak jelas membuktikan perlunya ada pasukan keselamatan tambahan untuk membantu polis mengawal keselamatan dan mencegah kejadian jenayah.

Niat Kerajaan Selangor ini murni iaitu menyediakan pasukan keselamatan bagi membantu dan melengkapi rutin harian anggota polis, bukannya mengambil alih tugas penguatkuasaan pasukan polis. Dengan peningkatan bilangan pasukan keselamatan yang diberi tugas rondaan dan pencegahan jenayah, keselamatan rakyat dapat dipertingkatkan.

“Kerajaan Selangor komited untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan ini dengan hasrat menyediakan persekitaran kehidupan yang aman selaras dengan misi Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai negeri idaman, tenteram dan berkebajikan,” kata Menteri Besar.

Dikeluarkan oleh:
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

note: Disertakan surat kepada YB Menteri Dalam Negeri
--
Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor
Tel: 03 5544 7452 Fax: 03 5510 9686
www.selangorkini.com.my
www.tvselangor.com
http://www.youtube.com/user/mbselangor