is he talking about Tindak Malaysia?

Tindak Malaysia's response: http://bit.ly/PR24AjaranSesat

SPR: Waspada dengan muslihat NGO ‘ajaran sesat’


Dhia Daniel

February 20, 2013


Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mendapati ada segelintir kumpulan NGO tertentu yang cuba mengelirukan pengundi bertentangan dengan syarat yang ditetapkan oleh SPR.
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi supaya berwaspada dengan muslihat sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang mungkin akan menyebabkan undi terbatal.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof merujuk perkara itu, kerana mendapati ada segelintir NGO tertentu yang cuba mengelirukan pengundi bertentangan dengan syarat yang ditetapkan oleh SPR.

Sebagai contoh, katanya, kumpulan NGO berkenaan menasihatkan pengundi untuk menyemak status tempat mengundi masing-masing di barong parti politik sedangkan sebenarnya mereka harus menyemak status tersebut di barong SPR sahaja.

Bagaimanapun, tambahnya, insiden membabitkan kumpulan NGO yang dianggap membawa ‘ajaran sesat’ berhubung prosedur atau peraturan mengundi, belum lagi dikesan di negeri ini.

“Atas sebab itu, saya mahu mengingatkan pengundi serta petugas pilihan raya agar peka dan sentiasa berwaspada dengan muslihat segelintir kumpulan NGO yang dikatakan tidak bertanggungjawab.

“Namun begitu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada NGO yang mengajar mereka (pengundi dan petugas) tentang sistem pilihan raya mengikut prosedur dan undang-undang yang ditetapkan oleh SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan taklimat ulangan bagi pegawai pengurusan dan penguatkuasa bagi pilihan raya umum (PRU) di sebuah hotel terkemuka di sini, pagi tadi.

Abdul Aziz berharap kumpulan NGO yang diberi tanggungjawab untuk membantu SPR dalam memberi latihan agar tidak membawa peraturan yang salah kepada pengundi sebaliknya mereka perlu mengikut syarat yang ditetapkan SPR.

`Ajaran sesat’

“Jangan ada ajaran sesat yang boleh mengelirukan pengundi. Kalau ada ajaran seperti ini, pengundi dinasihatkan untuk tidak menerimanya,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, sejak Isnin lalu SPR menerima 2,655 permohonan daripada rakyat Malaysia yang menetap di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi pos pada PRU ke-13.

Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 2, 636 dikategorikan layak, manakala permohonan selebihnya ditolak atas sebab-sebab tertentu.

“Daripada jumlah tersebut, 618 permohonan diterima daripada rakyat Malaysia yang menetap di Australia, United Kingdom (473), Amerika Syarikat (203), China (151), Qatar (124), Emiriyah Arab Bersatu (102), Arab Saudi (90), Jerman (81), New Zealand (74) dan Jepun (59).

“Walau bagaimanapun, saya berharap permohonan ini akan bertambah dari semasa ke semasa sehingga hari pembubaran Parlimen,” katanya.

Selain itu, Abdul Aziz berkata, kira-kira 2,600 lagi pelajar Malaysia dan penjawat awam yang tinggal di luar negara merupakan pengundi yang layak mengundi secara pos tanpa perlu membuat permohonan.