Syahredzan Johan: Wrote an article about Beres a week or so ago in Sinar Harian.


http://www.sinarharian.com.my/kolumn...m-pru-1.253877



PADA 16 Februari 2014, suatu inisiatif rakyat telah dilancarkan pada forum awam ‘Menuju Sistem Pilihan Raya yang Lebih Adil’, yang dianjurkan oleh NGO Tindak Malaysia dan Majlis Peguam Malaysia. Inisiatif ini dikenali sebagai ‘Projek Beres’.


Projek Beres bukan Bersih, mahupun Tindak Malaysia. Ia bukan ditaja oleh mana-mana pihak dan tidak menyebelahi mana-mana barisan mahupun pakatan politik. Projek Beres merupakan sebuah gagasan yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang inginkan sistem pilihan raya lebih baik dan berkesan.


Projek Beres mencadangkan beberapa pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan bagi menambah baik sistem yang sedia ada. Pindaan-pindaan ini dianggap perlu bagi mewujudkan institusi-institusi baharu yang dapat memastikan sistem pilihan raya tanah air dapat diperbaiki.


Projek Beres mencadangkan supaya kerusi Dewan Rakyat ditambahkan. Penambahan kerusi bagi Semenanjung Malaysia adalah bagi memastikan bahawa taburan pengundi itu lebih berkadar antara satu sama lain. Ada negeri-negeri yang mana kerusinya akan bertambah, dan yang kerusinya akan berkurang, mengikut bilangan pengundi. Untuk Sabah dan Sarawak pula, kerusi akan bertambah bagi melaksanakan apa yang telah dipersetujui semasa pembentukan persekutuan Malaysia.


Projek Beres juga mencadangkan supaya peranan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) disemak semula bagi memastikan mereka benar-benar bebas. Untuk tujuan ini, persempadanan semula tidak lagi akan dijalankan oleh SPR tetapi oleh badan Perlembagaan yang baharu iaitu ‘Suruhanjaya Persempadanan’. Suruhanjaya Persempadanan ini akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan bertanggungjawab ke atas hal-hal sempadan pilihan raya, yang dahulunya di bawah SPR.


Untuk SPR pula, Projek Beres mencadangkan supaya hal-hal berkenaan pendaftaran parti politik dipindahkan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke SPR, supaya SPR mempunyai kuasa ke atas parti-parti politik yang mahu bertanding dalam pilihan raya. Di samping itu, pelantikan anggota SPR juga akan ditukar, iaitu suatu pendengaran umum akan berlangsung bagi menentukan kesesuaian seseorang yang dicadangkan menjadi anggota SPR. Dapatan pendengaran umum ini kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan.


Projek Beres juga mencadangkan suatu badan ‘Pejabat Ombudsman Pilihanraya’ bagi memantau SPR dan juga Suruhanjaya Persempadanan. Pejabat Ombudsman Pilihanraya ini juga akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan mempunyai kuasa untuk menyemak semula langkah-langkah kedua-dua badan ini dan juga apa-apa undang-undang subsidiari yang digubal oleh mereka. Pejabat Ombudsman Pilihanraya ini juga akan punya kuasa untuk memerintahkan langkah pembetulan diambil oleh SPR dan Suruhanjaya Persempadanan.


Projek Beres juga mencadangkan satu sistem kerajaan sementara ‘neutral’ sejurus selepas Parlimen dibubarkan, sehinggalah pembentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya. Kerajaan sementara ‘neutral’ ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, dengan persetujuan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang dan tidak boleh terlibat langsung dengan pilihan raya. Kuasa dan had kerajaan sementara ini juga akan digubal bagi menyatakan dengan khusus peranan kerajaan sementara tersebut.


Di samping itu, Projek Beres juga mahu memperkenalkan kaedah referendum. Referendum ini akan diadakan sekiranya terdapat cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, contohnya. Rakyat biasa juga boleh memulakan referendum bagi isu-isu penting, asalkan referendum itu mendapat sokongan 10 peratus daripada pengundi berdaftar.


Ini adalah antara cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Projek Beres. Ada banyak lagi dan sesiapa yang berminat boleh ke laman Facebook di www.facebook.com/ProjekBeres.


Memandang ke hadapan, Projek Beres berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan, pembangkang dan juga pihak SPR sendiri bagi menambah baik sistem pilihan raya. Projek Beres percaya sekiranya cadangan-cadangan ini diguna pakai, akan terbentuk suatu sistem pilihan raya yang benar-benar adil dan telus.


*Penulis ialah seorang peguam muda dan juga jurucakap Projek Beres.